Monday, 16 January 2012

PENGENALAN

            Proses P&P bahasa berkembang mengikut peredaran masa dan zaman. Antara aspek pedagogi yang berkembang sering dengan kemajuan TMK ini ialah kaedah dan strategi P&P dan penggunaan alat bantu mengajar ketika mengajar. Kaedah dan strategi P&P terkini yang diberi penekanan seperti yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Bestari ialah kaedah pemelajaran masteri, konstruktivisme, kontekstualisme, koperatif, kolaboratif, inkuiri, berasaskan pendidikan masa depan dan sebagainya. Demikian juga penggunaan alat bantu mengajar pada abad ke-21 dalam konteks P&P juga sudah mengalami evolusi dan mengkagumkan. Penggunaan komputer, Internet, perisian P&P dalam semua mata pelajaran yang diajar pada peringkat sekolah rendah, menengah mahupun universiti kini menjadi satu keperluan dan bukan lagi sebagai satu alat hiasan untuk murid  atau pelajar melihatnya.

Pengenalan mata pelajaran Literasi Komputer pada tahun 1985 di peringkat sekolah menengah atas menjadi titik tolak kepada bermulanya penggunaan TMK secara menyeluruh dan bersepadu secara berperingkat termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Guru-guru Bahasa Melayu diajar menggunakan teknologi komputer sebagai satu kaedah P&P Bahasa Melayu terkini. Pendekatan pengajaran guru bahasa yang menggunakan komputer dalam P&P ini dikenali sebagai Kaedah Pemelajaran Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK). Pendekatan PBBK ini menjadikan proses P&P Bahasa Melayu semakin menarik dan efektif. Menurut Mohammed Sani (1998), penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan proses P&P lebih efisien tanpa menganggu objektif pelajaran yang telah ditetapkan. Guru-guru juga perlu mengintergrasikan TMK dalam kurikulum sekolah untuk mencapai objektif P&P yang telah ditetapkan.

Walaupun penggunaan TMK seperti komputer dan Internet menjadikan semakin penting, seringkali timbul pelbagai masalah kepada banyak pihak terutamanya kepada guru dan pelajar. Masalah-masalah ini perlu dihuraikan bagi makluman dan pengetahuan semua pihak, khususnya dalam kalangan pendidik Bahasa Melayu bahawa TMK juga memberi kelebihan dan juga kekurangan kepada guru-guru dalam melaksanakan penggunaan TMK dalam P&P di dalam bilik darjah. Segala kelebihan dan kekurangan dalam penggunaan TMK dalam P&P Bahasa Melayu akan membantu guru-guru Bahasa Melayu merancang dengan baik P&P mereka.

No comments:

Post a Comment